ALOR SETAR - Polis menahan seorang lelaki serta merampas kira-kira 220 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai lebih RM6,600 dalam operasi di sebuah rumah di Kampung Pak Pom di Pendang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan, Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki berusia 26 tahun dari Chuping, Perlis itu ditahan pada 12.05 malam oleh polis bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

“Ketika serbuan, suspek berada di hadapan rumah tersebut sambil memasukkan daun ketum ke dalam guni dan pemeriksaan lanjut menemukan 33 guni daun ketum dan kita tahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati rumah itu dipercayai dijadikan transit pengumpulan daun ketum yang diperoleh di sekitar kawasan berkenaan dan suspek juga didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek ini dipercayai menjadi orang tengah yang membawa daun ketum berkenaan ke Kuala Lumpur dan ujian air kencing mendapati dia juga positif morfin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali. -Bernama