SHAH ALAM - Polis belum menetapkan sama ada akan menyambung perintah tahanan reman terhadap suspek kes bunuh bayi lelaki berusia lima bulan di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, buat masa ini pihaknya masih belum menetapkan perkara itu berikutan tindakan tersebut bergantung kepada siasatan yang sedang dilakukan oleh polis pada masa ini.

"Reman (suspek) akan tamat 10 Julai (Selasa). Penyambungan reman tak tahu lagi kerana ia bergantung kepada hasil siasatan kita selepas ini,"katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian sebelum ini, bayi malang berkenaan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif dilaporkan hilang selepas pengasuhnya dikatakan tersalah menyerahkan bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya.

Namun begitu, hasil siasatan polis menemui mayat bayi itu disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuhnya terbabit kira-kira jam 11 malam selepas mendapat terdapat keraguan pada keterangan suspek terlibat.

Susulan itu, suspek berkenaan juga telah ditahan reman sehingga 10 Julai ini bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan berhubung kes tersebut.

Mengulas lanjut mengenai motif suspek dalam kes itu, Ali berkata, buat masa ini pihaknya masih menyiasat secara terperinci punca kejadian terbabit bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

"Setelah siasatan kita selesai sepenuhnya, barulah polis boleh membuat kesimpulan mengenai motif tindakan suspek dalam kes itu,"katanya.