SHAH ALAM - Polis akan menjalankan siasatan terhadap aktivis yang berkumpul di Mahkamah Petaling Jaya bagi kes penahanan dua anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, satu laporan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah dibuat hari ini susulan kumpulan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya akan menyiasat laporan berkenaan sama ada perbuatan aktivis tersebut menyalahi undang-undang atau tidak.

“Bagaimanapun, tumpuan utama polis buat masa ini adalah bagi menyelesaikan kes ini (kes kematian CEO Cradle).  Kes ini masih lagi dalam siasatan polis… kita nak tumpu siasatan.

“Satu laporan polis di daerah telah dibuat berhubung tindakan aktivis berkumpul di mahkamah. Kita akan pertimbangkan untuk lihat apa tindakan lanjut… kita kena siasat perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak, mungkin (aktivis) hadir untuk bagi sokongan,” tegasnya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua anak tiri CEO Cradle Fund ditahan]

Pagi semalam, permohonan reman ke atas dua remaja lelaki, berusia 14 dan 16 tahun dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya

Hari ini memetik laporan Harian Metro Online hampir 20 orang keluarga dan kenalan rapat dua anak tiri kepada CEO Cradle, Nazrin berkumpul di Mahkamah Petaling Jaya untuk menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung penahanan dua remaja terbabit.

Jurucakap kumpulan itu, aktivis kanak-kanak daripada badan bukan kerajaan (NGO) Voice of Children, Hartini Zainuddin berkata, tindakan menggari dua remaja itu bertentangan dengan kod yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi layanan terhadap tahanan di bawah umur.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kematian CEO Cradle diklasifikasi kes bunuh]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis nafi tahan dua anak tiri CEO Cradle Fund]

Pada 14 Jun lalu, Nazrin dilapor meninggal dunia akibat terhidu asap selepas kebakaran akibat telefon bimbitnya yang sedang dicas meletup di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, Selangor.

Bagaimanapun pada 3 Ogos, polis mengklasifikasikan semula kematian Nazrin sebagai kes bunuh berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menemukan kesan petrol di dalam bilik mangsa yang terbakar.

Susulan itu, isteri Nazrin dan bekas suaminya telah direman tujuh hari mulai Selasa lepas bagi membantu siasatan.