GOMBAK - Dua lelaki bertindak kejam apabila tergamak membunuh seekor kucing dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di kedai dobi di Taman Gombak Ria, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku pada waktu tengah malam itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan tular di Facebook sehingga mengundang kemarahan netizen.

Menerusi rakaman 2 minit 50 saat itu, salah seorang dari dua lelaki yang juga pelanggan dobi berkenaan dilihat memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.

Mereka kemudiannya, berlalu pergi namun datang semula setelah beberapa saat kemudian dan bertindak memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering itu.

Kedua-duanya meninggalkan kedai dobi itu sebaik menekan butang 'mula' pada mesin pengering yang mengandungi kucing betina berkenaan.

Bangkai kucing dikatakan ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada keesokan harinya oleh pelanggan yang mahu menggunakan mesin pengering berkenaan.

Kes itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang memberikan komen mengharapkan balasan setimpal dikenakan kepada kedua-dua suspek berkenaan.

Salah seorang pengguna Facebook menggunakan nama Niera AshaMia mahu kerajaan memperketatkan lagi undang-undang berkaitan penganiayaan terhadap haiwan.

"Harap diperketatkan lagi undang2 yang berkaitan haiwan.haiwan tak kacau jangan  kacau..sakit hati tengok orang macam ni," katanya.

Tidak kurang juga komen yang menegur netizen lain setelah dilihat beremosi sehingga membabitkan soal perkauman.

"Apa pun yang terjadi tolong jangan libatkan bangsa atau kaum ye kawan-kawan.. yang  buat jahat tu individu.. Bukan bangsa atau kaum.. Tolong jaga keharmonian antara kita semua," tulis pengguna Facebook menggunakan nama Bran Rahman.

Sinar Harian difahamkan satu laporan polis telah dibuat susulan aduan yang dibuat oleh pemilik dobi berkenaan kepada salah sebuah pertubuhan haiwan.