SABAK BERNAM - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan kes curi motosikal apabila berjaya memberkas lima suspek di sekitar Sekinchan, di sini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dengan tertangkapnya semua suspek tersebut, sebanyak tiga kes dapat diselesaikan.

Menurutnya, kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Syah Pasir Panjang’ itu lumpuh selepas sepasukan pegawai dan anggot Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sabak Bernam melancarkan ‘Ops Lejang’.

“Polis melakukan tangkapan secara berasingan pada 31 Mac lalu di sekitar Sekinchan terhadap dua saspek utama, lelaki berusia 20 tahun dan seorang remaja bawah umur, berusia 15 tahun.

“Pihak kami telah berjaya menemui dan merampas barang kes daripada dua suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, membawa kepada penahanan tiga suspek lelaki berusia antara 16 hingga 45 tahun, juga di sekitar Sekinchan,” katanya

Menurut Nor Azmi, sebanyak lima motosikal termasuk komponen motosikal yang dilerai berjaya ditemui dan dirampas.

“Hasil siasatan mendapati tiga dari lima motosikal itu dilaporkan hilang di sekitar daerah ini, manakala dua motosikal lagi masih menunggu laporan forensik berikutan nombor casis motosikal tersebut telah diubahsuai,”katanya.

Katanya, dua suspek utama kes itu dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan motor dan Seksyen 411 kanun yang sama kerana memiliki barang curi.