KAJANG - Seramai tiga lelaki bersenjatakan pistol dan tukul melarikan barang kemas yang dianggarkan RM 500,000 di sebuah kedai emas di dalam pasar raya di Bangi, petang tadi.

Dalam kejadian 1.47 petang itu, dua suspek berpakaian baju warna gelap masuk ke dalam premis dan bertindak memecahkan cermin kaunter pameran dengan menggunakan tukul besi, manakala seorang lagi berada di luar kedai emas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan mendapati semasa kejadian, dua pekerja perempuan sedang bertugas.

"Kedua-dua pekerja itu tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup mendapati kejadian berlaku kira-kira dua minit.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati premis berkenaan telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

"Dalam tempoh tersebut, ini merupakan kejadian kali kedua premis ini disamun. Kejadian pertama adalah pada awal tahun ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menghubugi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superitendan Redzuan di talian 0192714100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.