KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar tahun ini dengan nilai cukai RM1.2 juta, di Kampung Merbau Menyusut, Sungai Tong, Setiu, Ahad lalu.

Ia susulan penahanan sebuah lori kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh JKDM Terengganu sekali gus membongkar taktik terkini penyeludup rokok dalam kalangan penduduk tempatan yang memilih laluan ‘gelap’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah JKDM Terengganu, Datuk Radzi Muhamad berkata, pada hari kejadian, pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang terlarang sebelum bertindak menahan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan lelaki berusia 38 tahun.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 53 tahun itu enggan memberi kerjasama dan nekad melarikan diri dan ditangkap selepas dikejar sejauh 400 meter.

“Kedua-dua lelaki itu sebelum itu terjun dari lori itu selepas kita tahan kenderaan mereka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Panji Alam, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui 1.5 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM120,000 yang melibatkan cukai berjumlah RM1.2 juta.

“Siasatan awal mendapati rokok-rokok ini tidak memenuhi ciri rokok yang dibenarkan untuk pasaran tempatan (Larangan Mengenai Import) 2017 dan tiada permit import.

“Mereka ditahan reman selama 15 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii) akta sama iaitu kesalahan mengangkut barang-barang larangan,” katanya.

Radzi berkata, berdasarkan modus operandi kesemua rokok yang di seludup masuk dari negara jiran akan dimuatkan di dalam kotak dengan rapi dan kerja-kerja itu dilakukan di negeri Kelantan sebelum di hantar untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur.

Dalam masa itu, Radzi meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kepada JKDM di talian JKDM Terengganu, 09-6204257 atau talian bebas tol 1-800-88-8855 bagi memastikan penyeludupan dapat dibanteras.