SHAH ALAM - Kanak-kanak kini berdepan ancaman jenayah seksual lebih menakutkan apatah lagi majoriti pelakunya terdiri daripada orang yang dikenali.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mengikut hasil siasatan bagi kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Selangor, bagi tahun ini bermula Januari sehingga Oktober, sebanyak 75.7 peratus adalah melibatkan suspek yang dikenali mangsa.

Menurutnya, manakala hanya 24.4 peratus sahaja membabitkan suspek yang tidak dikenali.

“Kebiasaannya suspek dikenali ini terdiri daripada bapa kandung atau tiri, datuk, guru, abang kandung dan tiri, anak pengasuh, jiran, teman lelaki ibu, kawan mangsa dan lain-lain.

“Ini terbukti dengan beberapa kes yang dilaporkan di mana tiga beradik perempuan berusia 11 dan 14 tahun dirogol oleh dua abang tirinya. Kejadian hanya disedari guru mangsa yang melihat perubahan emosi mangsa selain takut untuk pulang ke rumah.

“Selain itu, ada juga kes di mana bayi berusia 10 bulan yang disahkan terdapat kesan koyakan pada duburnya disyaki diperlakukan oleh atuknya berusia 68 tahun. Lebih membimbangkan apabila terdapat kes di Bandar Baru Salak Tinggi, pada Oktober lalu di mana kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang merogol sepupunya berusia sembilan tahun kerana terpengaruh video lucah di telefon bimbit,” katanya dalam program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Mengulas tentang punca berlakunya kes ini, Fadzil telah menyenaraikan lima punca utama iaitu, pengaruh media sosial, perkembangan teknologi, kurangnya pemantauan ibu bapa dan penjaga, sikap ingin mencuba dan pengaruh rakan sebaya.

Mengikut laporan statistik, pada tahun ini sehingga Oktober, kes jenayah seksual kanak-kanak dilapor meningkat 333 kes di mana 201 kes telah dituduh, 51 kes masih disiasat dan selebihnya tiada pendakwaan diteruskan.

Tambahnya, jumlah tersebut sangat meruncingkan kerana tahun lalu hanya mencatat 287 kes sahaja sehingga Disember.

“Jumlah kes pada tahun ini meningkat banyak walaupun masih ada dua bulan sebelum hujung tahun. Kita jangka jumlah ini akan meningkat berikutan faktor musim cuti sekolah di mana banyak kes masalah sosial berlaku khususnya golongan remaja,” katanya.

Justeru, polis menggesa mangsa, orang ramai atau sesiapa yang mengetahui kejadian sedemikian untuk segera tampil menyalur maklumat bagi mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Jelasnya, polis prihatin dan mengambil berat untuk mencegah dan mengurangkan permasalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan meningkatkan kesedaran kepada golongan ibu bapa, guru, penjaga dan komuniti tentang trend ancaman sebegini.

“Kita juga menitikberatkan tentang pengaruh negatif media sosial, penggunaan internet oleh kanak-kanak, pergaulan mereka selain mengadakan ceramah dan pameran di peringkat tadika hingga universiti,” katanya.