KUALA LUMPUR - Gambar poster memaparkan ayat berbaur perkauman yang ditampal di beberapa lokasi dipercayai di sekitar Kuala Lumpur adalah gambar lama.

Mengesahkan perkara itu adalah Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah.

"Semakan mendapati itu adalah gambar lama ketika Bersih pada tahun 2015 dan telah diviralkan semula oleh individu tertentu.

"Polis setakat ini tidak menerima laporan berhubung penularan terbaru ini. Jika ada laporan, siasatan akan dijalankan," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, beberapa keping kertas bersaiz A4 yang ditampal di beberapa lokasi seperti di stesen minyak, papan tanda parkir dan tiang telefon telah tular.

Berdasarkan carian di media sosial Facebook, gambar tersebut telah dimuat naik pada tahun 2015 dan telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

Berdasarkan daripada perkongsian tersebut, kertas tersebut dikatakan telah ditampalkan di kawasan Maybank Tun Perak, di sini.