SHAH ALAM - Polis akan memanggil pelakon, Datuk Farid Kamil berhubung laporan polis yang mengaitkannya dengan isu menerima 'suapan' berjumlah RM5 juta oleh kerajaan BN dahulu.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Menurutnya, pihaknya telah menerima satu laporan polis di Balai Polis Kota Damansara, semalam, daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang merupakan wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

“Laporan itu mengatakan bahawa Farid sengaja mereka cerita untuk menjatuhkan imej perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) ketika itu.

“Malah pengadu juga mengatakan, jika dakwaan Farid itu benar, mengapa tidak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Jelasnya, susulan itu, Farid akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Farid sebelum itu dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Youtube MyFokus Online , semasa program TV al Hijrah jam 10 malam kelmarin, berjudul “Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?”, berkata  beliau telah cuba dirasuah sebanyak RM 5 juta oleh pihak kerajaan (iaitu kerajaan BN yang berkuasa sebelum 9hb Mei, 2018).

[ARTIKEL BERKAITAN: Lokman buat laporan polis terhadap Farid Kamil]

Susulan itu, tegas Lokman, dakwaan itu berat dan perlu segera disiasat polis kerana membuat dakwaan palsu selain mahu menghina Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.