KATA orang kasih ibu membawa ke syurga. Walau apa pun berlaku si ibu rela mengorbankan nyawa demi menyelamatkan anak kesayangan. Pengalaman nyaris kehilangan anaknya dalam satu insiden mencemaskan 5 September lalu menyebabkan Nurul Shuhada berasa trauma.

Dia menerusi laman Facebook berkongsi kisah mendebarkan tentang anaknya yang nyaris diculik seorang wanita tidak dikenali.

Menceritakan detik itu, Nurul Shuhada bersama anaknya, Fayyad serta kakak sepupu Chott dan adik sepupu Zamarul ke stesen kereta api KL Sentral untuk menghantar ahli keluarga mereka dikenali sebagai Pak Usu.

Sepanjang perjalanan di KL Sentral dari medan selera, turun naik eskalator dan tangga sehingga ke laluan menuju ke MRT, Chott dan Zamarul menyedari mereka diikuti seorang wanita berbangsa Cina yang tidak lepas memandang ke arah Fayyad.

Tiba di satu kawasan, wanita tersebut menegur Nurul Shuhada, menyuruhnya berhenti dan bertanya dalam keadaan marah itu anak siapa.

Terkejut dengan keadaan itu, Chott menarik tangan Nurul Shuhada menjauhi wanita tersebut yang jelas semakin berang. Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan mengaku anak yang dipegang Nurul Shuhada adalah anak lelakinya dan dia cuba menarik Fayyad dengan tangan menggigil seperti sedang menahan marah.

Dalam keadaan panik mereka berlari menuju ke kaunter MRT dan meminta pertolongan anggota polis bantuan yang menjaga kawasan berkenaan dengan menceritakan kejadian yang berlaku.

Menurut Nurul Shuhada, wanita Cina itu berulang kali memberitahu Fayyad adalah anaknya yang hilang dan dia sebenarnya bukan anak orang Melayu.

"Polis menyuruh saya menunjukkan bukti MyKid Fayyad. Ketika ingin mengeluarkan MyKid dalam beg sandang, saya serahkan Fayyad kepada Zamarul dan wanita tersebut tiba-tiba menjerit marah kononnya saya biar budak kecil pegang anak dia. Dia kata saya tiada otak.

"Ketika ini saya berasa sangat takut dan hampir menangis," tulisnya.

Meskipun telah ditunjukkan bukti Fayyad anak Nurul Shuhada, wanita asing itu masih tidak berpuas hati dan mengeluarkan puting dari dalam beg dibawa yang didakwa milik anaknya sambil menjerit meminta Nurul Shuhada memulangkan Fayyad kepadanya.

Nurul Shuhada berkata, beberapa polis bantuan sedaya upaya menghalang wanita itu daripada menghampiri Nurul Shuhada dan anaknya. Malah, mereka disuruh melarikan diri dan menaiki kereta api dengan segera.

Dalam keadaan takut, menggigil dan lutut yang terasa amat lemah untuk melangah, mereka akhirnya berjaya lari dan menaiki kereta api.

Di sebalik semua itu, terdetik rasa kecewa di hati Nurul Shuhada kerana sepanjang mereka berlari dalam ketakutan tiada seorang pun bertanya atau menawarkan bantuan.

"Kami harungi dengan kekuatan dalam ketakutan kami sendiri je sampai jumpa abang polis. Terima kasih abang polis," katanya.

Sebagai pengajaran, Nurul Shuhada yang kini masih trauma kerana nyaris kehilangan anak tersayang menyesal kerana keluar tanpa ditemani lelaki dewasa.