MELAKA TENGAH - "Penyamun tu langsung tak benarkan saya berbuka puasa melainkan dengan beberapa biji pil tidur yang disumbatkan ke mulut," kata Mariam Mahmud, 66, mangsa kejadian samun pada Khamis lalu, di Kilometer 12 Kampung Pernu di sini.

Menurut pesara kakitangan awam itu, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang ketika dia sedang menanti waktu berbuka puasa sunat di bahagian ruang tamu rumahnya sebelum didatangi individu tidak dikenali.

"Masa tu nasi dengan lauk sayur kacang dan nugget goreng bersama air mineral dah tersedia, secara tiba-tiba terdengar bunyi orang beri salam, lalu saya jenguk luar ternampak dua orang lelaki pakai kopiah putih, cakap dengan bahasa lembut sangat!, bertanyakan tentang inap desa.

"Memang sebelah rumah saya ada buat inap desa yang diuruskan oleh adik sebenarnya, jadi saya benarkan dia masuk sebab lihat muka nampak baik apatah lagi, berbaju macam baju Melayu cerah berkopiah putih," katanya yang menceritakan kembali detik cemas itu.

Mariam ketika itu tinggal berseorangan sementara menanti suami, Alias Simin, 67, pulang dari kebun yang tidak jauh dari kampung berkenaan.

Sebaik dua lelaki berkenaan masuk ke rumah, menurut Mariam, salah seorang daripadanya mula bertanyakan pasal harga sewaan inap desa.

"Saya katakan sehari RM300 tetapi kalau beberapa hari, ada potongan harga sedikit, tetapi ketika itu, inap desa yang terletak bersebelahan itu belum dikemas lagi sebab penyewa baru keluar. Dalam masa sama saya cadangkan agar dia menyewa inap desa milik seorang rakan saya.

"Ketika berjalan mahu mengambil nombor telefon untuk hubungi rakan pemilik inap desa lain, salah seorang terus rentap baju saya dan terus menumbuk beberapa kali muka saya dan seorang lagi rakan dia memukul bahagian kiri dan kanan punggung sehingga saya tertiarap ke lantai" katanya.

Mariam berkata, kedua-dua penyamun terbabit langsung tidak mengendahkan rayuannya supaya jangan di apa-apakan dirinya.

"Saya kata pada mereka, kalau nak ambil barang, ambillah! yang penting jangan apa-apakan saya. Mak cik dah tua,janganlah di apa-apakan mak cik tetapi langsung tidak dipeduli sehingga tumbukan lelaki itu menyebabkan muka saya lebam, bibir pecah dan mengalami kesakitan pada bahagian punggung dan tangan.

"Dalam keadaan itulah saya cakap, saya berpuasa, benarkanlah saya minum air untuk berbuka tetapi sebaliknya dia menyumbat mulut saya dengan beberapa biji pil tidur.

"Sampai saya mahu buang air besar pun dia tak beri, dia suruh saya buang air besar di ruang tamu," katanya.

Dalam pada itu, suaminya Alias berkata, dia yang baru pulang dari kebun ketika kejadian sampai di rumah pada jam 7.15 malam, berasa hairan apabila pintu rumah dikunci dari dalam.

"Sebaik pak cik membuka pintu dan melangkah masuk, seorang lelaki terus mengacu kacip pinang ke leher pak cik.

"Saya dan isteri juga diikat menggunakan kabel pengecaj telefon bimbit, saya minta untuk solat tapi mereka tak benarkan," kata Alias yang tidak dapat mengecam wajah dua suspek berikutan kaca matanya tercampak jatuh.

Menurutnya, ketika itulah wang tunai dalam poketnya dirampas suspek.

Alias berkata, suspek menggunakan kereta Perodua Axia berwarna perak dan dua suspek dianggarkan berusia 30-an dan 40-an.

Menurut Alias, kejadian itu membuatkan dia dan isterinya akan lebih berhati-hati dan berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes terbabit.

Sinar Harian, Jumaat lalu melaporkan sepasang warga emas dipukul, diikat sebelum disuap pil tidur dalam satu kejadian samun yang berlaku di Kilometer 12, Kampung Pernu di sini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.10 malam itu, pasangan suami isteri terbabit dikejarkan ke Hospital Melaka setelah tidak sedarkan diri ekoran kejadian itu sebelum dibenarkan keluar Sabtu lalu.

Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM23,000 membabitkan nilai barang kemas RM19,000 serta wang tunai RM4,000.