KOTA BHARU - Dua lelaki hanya sempat berjoli sebahagian wang hasil ragut apabila mereka ditahan polis di Jalan Bayam, di sini, petang tadi.

Suspek berusia 33 dan 27 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada jam 1.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian ragut di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah, di sini, pada jam 12.15 tengah hari.

“Pihak polis di bilik gerakan menerima maklumat dipercayai kejadian ragut berlaku melibatkan seorang mangsa wanita berusia 72 tahun oleh dua lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Persona berwarna hitam.

“Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi dan menyerbu sebuah rumah di Jalan Bayam sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya.

Mangsa dibantu orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, polis turut menemui semula beg tangan mangsa yang mengandungi kad pengenalan dan sebahagian daripada RM200 wang yang dilarikan.

“Ujian awal urin terhadap kedua-dua suspek didapati mereka positif dadah jenis metamphetamine.

“Semakan terhadap suspek utama yang berusia 33 tahun mendapati dia mempunyai rekod kesalahan curi dan dua kes membabitkan penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kiri kepala dipercayai akibat terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II serta diberi rawatan sebagai pesakit luar," katanya.