GEORGETOWN - Seorang lelaki yang mengaku telah membunuh isterinya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kulim, Kedah, petang semalam.

Lelaki yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di sini mengaku telah memukul isterinya di sebuah pangsapuri, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu mengaku memukul isterinya dengan menggunakan rak penyidai baju.

Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua suami isteri itu bertengkar menyebabkan suspek memukul mangsa di bahagian kepala.

Che Zaimani berkata, mangsa yang  berusia 39 tahun ditemui tidak sedarkan di sebuah bilik di bahagian belakang rumah yang disewa mereka.

Tambahnya, kejadian berlaku di tingkat 1 sebuah pangsapuri di Taman Seri Indah, Ayer Itam di sini.

"Dari keterangan awal suspek, dia dan isterinya yang merupakan guru tuisyen bertengkar pada malam Ahad (semalam).

Ketika itu, suspek baru bangun dari tidur kira-kira jam 10 malam. Dia dan isterinya bertengkar di bilik belakang rumah tersebut menyebabkan dia memukul kepala isterinya menggunakan rak penyidai baju.

"Selepas kejadian itu, suspek keluar dari rumahnya pada jam 11 malam dan pulang ke kampungnya di Kulim, Kedah. Namun, suspek pulang semula ke rumahnya pada jam 11 pagi hari ini dan mendapati isterinya masih tidak sedarkan diri.

"Suspek telah memaklumkan perkara itu kepada keluarganya dan keluarganya meminta dia membuat laporan polis.

"Suspek terus ke IPD Kulim untuk membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi.

Che Zaimani berkata, suspek kemudiannya dibawa sepasukan polis ke rumahnya pada jam 4.15 petang untuk pengesahan kes.

"Ketika di tempat kejadian, polis menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala. Pakar patalogi yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dengan kecederaan di sebelah kanan kepala; kedua-dua kening dan telinga kiri.

"Punca kejadian dipercayai berlaku salah faham antara suami isteri itu. Pasangan tersebut yang berasal dari Kedah itu sudah berkahwin 10 tahun dan belum mempunyai anak.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat yang akan dilakukan jam 10 pagi esok," katanya.

Tambahnya, suspek tiada rekod lampau dan tidak mengambil dadah ketika kejadian.

"Ujian saringan dadah keatasnya menunjukkan negatif. Polis akan memohon reman ke atas suspek untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Dengan pengakuan suspek, kes dianggap selesai," katanya.