PASIR MAS - Taktik mencuri lembu korban menggunakan treler kuda menjadi modus operandi terbaru sindiket untuk mengaburi mata orang ramai sekali gus mengelak daripada dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamed Piah berkata, setakat ini sebanyak empat kes berkaitan kecurian lembu korban diterima pihaknya sejak minggu lalu.

“Kebanyakan kes ini dikesan berlaku sekitar kawasan Tendong,” katanya kepada pemberita pada program bertemu pelanggan di Masjid Tepi Sungai Tendong.

Menurutnya, setiap ekor lembu korban yang dicuri akan dimasukkan ke dalam treler kuda bagi mengaburi mata orang ramai, sekali gus menyukarkan polis mengesan kegiatan tersebut.

Bagaimanapun katanya, polis telah meningkatkan operasi dan pemantauan bagi mengesan sindiket berkenaan.

"Kami ambil serius perkara ini dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat," katanya.

Beliau turut memohon kerjasama pemilik haiwan supaya sentiasa membuat pemantauan terhadap ternakan mereka.

“Sekiranya mengetahui maklumat berkaitan kes itu sila berhubung terus dengan balai terdekat.

“Ini bagi memudahkan pihak kami mengesan dan membuat tangkapan terus ke atas sindiket berkenaan,” katanya.