KUALA LUMPUR - Polis digesa menyiasat semula kes pembunuhan berprofil tinggi  wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan individu yang merancang jenayah berkenaan mesti dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng  membuat laporan di Balai Polis Jinjang, hari ini bagi menggesa  polis menyiasat dalang  yang mengarahkan dua bekas Unit Tindak Khas (UTK), Sirul Azhar Umar serta Azilah Hadri, membunuh Altantuya.

"Orang yang mengarahkan pembunuhan Altantuya perlu didakwa dengan pertuduhan jenayah bersubahat," katanya.

Dalam laporan itu, beliau memberitahu Sirul  yang kini dilaporkan berada di Australia bersedia memberikan keterangan mengenai kejadian sebenar sehingga membawa kepada pembunuhan bekas model  tersebut pada Oktober  2006.

ARTIKEL BERKAITAN: Sirul sedia dedah perkara sebenar pembunuhan Altantuya

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Sirul sebagai tertuduh kedua dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan  selepas membenarkan rayuan pendakwa raya dalam kes itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Tertuduh didakwa membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu antara jam 10 malam, 19 Oktober dan jam 1 pagi, 20 Oktober 2006 di Bukit Raja, Klang dekat sini.

Sementara itu, Lip Eng turut membuat laporan polis terhadap  Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy kerana didakwa memberi keterangan palsu berhubung syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

“Arul telah memberi maklumat palsu walaupun mengetahui terdapat asas untuk mempercayai bahawa kesalahan pecah amanah dan penyelewengan telah dilakukan oleh bekas anggota 1MDB," katanya.

Beliau juga mendakwa terdapat bekas menteri, pegawai tinggi kerajaan dan agensi penguatkuasa cuba menutup skandal 1MDB.