MELAKA TENGAH - Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berjaya menumpaskan sebuah kumpulan samun kedai serbaneka 24 jam di negeri ini.

IPK dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, kejayaan itu hasil tindakan Pasukan Task Force Bahagian Siasatan Khas D9 yang ditubuhkan, sekali gus melumpuhkan kumpulan yang turut melakukan samun rumah di sekitar Ayer Keroh, Durian Tunggal dan Batu Berendam.

"Bertindak atas maklumat pasukan terbabit berjaya menangkap lima orang suspek dipercayai ahli Kumpulan Lukman lebih kurang jam 2 petang di sebuah lokasi di Kampung Kerbau, Durian Tunggal pada Khamis lalu.

"Kesemua suspek masih dalam tempoh penahanan reman oleh Majistret Alor Gajah selama tujuh hari bermula 17 Ogos hingga 23 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara barangan yang dirampas berhubung kes tersebut termasuk helmet, beg galas, telefon bimbit, beg sandang, parang dan tiga buah motosikal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes-kes samun boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline Polis Melaka di talian 06-285 4222/4199/4155 iaitu Pusat Kawalan Polis IPK Melaka ataupun daerah.