KLUANG- Kegiatan licik empat sekawan yang disyaki melakukan aktiviti samun di daerah ini dan sekitarnya akhirnya tumpas apabila berjaya diberkas oleh pihak berkuasa semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata keempat-empat  mereka berusia antara 26 hingga 34 tahun itu ditahan di persimpangan sebuah lampu isyarat di Jalan Intan 2, Taman Intan, di sini, kira-kira jam 12.20 tengahari.

Penahanan adalah susulan satu aduan orang awam mengenai kejadian samun di sebuah rumah yang dihuni seorang lelaki dan wanita warga Sri Lanka yang bekerja sebagai tukang jahit di Taman Liang Seng  pada 6 September kira-kira 10.49 malam.

“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan masuk melalui pintu hadapan rumah dengan seorang daripadanya bersenjatakan sebilah pisau. Suspek merampas tiga telefon bimbit, sebuah komputer riba dan sejumlah barang kemas yang bernilai keseluruhan RM2,000 daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah motokar jenis Perodua Kenari, enam telefon bimbit, seutas rantai emas leher dan sebuah komputer riba yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM11,000.

Polis juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah  jenis  methamphetamine berdasarkan ujian saringan awal air kencing dijalankan.

Kesemua mereka kini direman sehingga Khamis depan dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam kes lain, Abdul Razak memberitahu tiga individu turut ditahan di sebuah rumah di Bandar Seri Impian pada Rabu kira-kira 2.50 petang kerana terbabit kes penyalahgunaan dadah.

Katanya, daripada mereka polis menemukan sebuah bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat  disyaki dadah jenis ganja seberat 1.3 kg yang diletakkan di sebuah stor rumah terbabit.

“Siasatan lanjut masih lagi dilakukan untuk mengenal pasti sama ada ia untuk diedarkan atau sebaliknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - Bernama