KLUANG – Polis daerah ini berjaya menumpaskan satu kumpulan yang terlibat dalam beberapa kes pecah cermin dan curi barangan dalam kenderaan di sekitar daerah ini sejak bulan Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, tangkapan pertama ahli kumpulan berkenaan membabitkan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, di Taman Kluang Barat, di sini,  jam 4.50 petang, kelmarin.

“Berdasarkan tangkapan pertama, polis kemudian memberkas dua lagi ahli kumpulan itu iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang perempuan berusia 18 tahun di sebuah kedai alat telekomunikasi di sekitar bandar Kluang, pada jam 8.10 malam, hari yang sama.

“Hasil tangkapan keempat-empat suspek ini, kami berjaya menjumpai semula dan merampas beberapa barangan berharga dipercayai hasil kegiatan dan barangan yang mereka gunakan untuk memecah kenderaan, di sebuah rumah di Taman Kluang Indah,” katanya.

Barang-barangan yang dirampas.

Menurutnya, antara barangan yang ditemui di rumah terbabit adalah tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, pemotong dawai, pemutar skru bermata bunga dan mata leper, pahat, kad bank, ‘scrapper’, lesen memandu dan sebuah kereta jenis Nissan Almera.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM30,000 dan siasatan awal mendapati, dua suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua lagi tiada rekod kesalahan, selain semua suspek negatif dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 23 November ini dan polis percaya dengan tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan tujuh kes curi dari dalam kenderaan di sekitar daerah ini.

“Daripada soal siasat yang dilakukan, kumpulan ini aktif melalukan kegiatan pecah cermin dan curi barangan dari kenderaan di beberapa kawasan rekreasi di Kluang, seperti Gunung Lambak, Tasik Putih dan Kolam Renang Kluang Barat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan beliau meminta pengadu yang telah melaporkan kes pecah cermin dan curi dari kenderaan agar datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk pengecaman barang kes.