KAJANG - Dua ahli kongsi gelap Geng Devan 360 dan Geng Spider 08 maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Naqsyabandiah, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira kira jam 1 pagi itu berlaku ketika sepasukan polis melakukan rondaan dan menemui kereta jenis Porche Cayyene yang dinaiki suspek itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketika cuba memintas kenderaan itu di Metro Kajang, suspek bertindak memecut laju sejauh kira-kira empat kilometer hingga ke satu kawasan perkampungan.

"Suspek bagaimanapun telah melepaskan tembakan ke arah polis sebelum terbabas ke bahu jalan sebelum berbalas tembakan dengan polis hingga menyebabkan suspek maut di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan menemui dua pucuk pistol jenis Styer dan CZ 92 serta dua bilah parang," katanya di lokasi kejadian.

Polis melakukan siasatan lanjut di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek adalah warga tempatan yang menetap di Pandamaran Permai dan Telok Panglima Garang, Selangor.

Katanya, semakan turut mengesahkan suspek berusia 36 itu memiliki tujuh rekod lampau termasuk lima rekod dadah, manakala suspek berusia 43 tahun itu pula memiliki empat rekod jenayah dan pecah rumah di Klang.

"Polis juga percaya kenderaan yang digunakan suspek ini terbabit dalam kes samun bersenjata di Pandamaran, Klang, baru-baru ini," katanya.

Tambah Fadzil, pihaknya percaya suspek daripada satu rangkaian besar dan polis sedang giat mengesan saki-baki geng mereka ini.