BUTTERWORTH - Suasana damai sebuah flat di sini gempar apabila seorang lelaki dipercayai penghuni flat tersebut menemukan mayat berdekatan lif tingkat bawah Apartment Taman Bunga Tanjung, Jalan Bunga Tanjung itu, tadi.

Mayat dipercayai warga asing itu berusia dalam lingkungan 30an dan terdapat kesan tikaman di dadanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat kesan tikaman pada dada sebelah kanan mangsa.

“Kesan tikaman dipercayai sedalam 1 cm pada dada mangsa, mangsa juga didapati lengkap berpakaian ketika mayatnya ditemui.

“Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan punca kejadian,” katanya.

Dalam masa sama, katanya pihak polis telah menahan seorang lelaki dan wanita warga asing bersama seorang lelaki tempatan di blok terbabit.

“Suspek yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur 31 tahun dan 29 tahun serta seorang lelaki Cina berumur 37 tahun itu  berada di Blok A Lebuh Bunga Tanjung Taman Tanjung Apartment Jalan Raja Uda sebelum tangkapan dibuat.

“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah,” katanya.

Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut.

“Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bagi siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.