KLANG - Seorang pekerja kedai emas cedera di muka dan leher selepas bergelut dengan seorang penjenayah yang cuba melarikan sebentuk cincin emas dalam kejadian di Jalan Tengku Kelana, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, suspek berusia 32 tahun itu berpura-pura memasuki kedai emas berkenaan untuk melihat sebentuk cincin emas sebelum cuba untuk melarikan diri.

"Sebaik menerima barang berharga itu, suspek bertindak melarikan diri namun sempat dikejar oleh pekerja kedai emas terbabit bersama seorang lagi rakannya.

"Selepas suspek ditangkap, pekerja premis berkenaan yang berusia 47 tahun itu menghubungi pihak polis untuk menyerahkan suspek," katanya.

Namun begitu, Shamsul berkata, suspek kemudiannya bertindak agresif dan mengeluarkan sebilah pisah kecil sehingga berlaku pergelutan dengan pekerja kedai emas terbabit.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun gagal untuk meloloskan diri dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil siasatan awal berjaya menemui sebentuk cincin emas bernilai RM318 dan sebilah pisau kecil," katanya.

Tambah beliau, polis juga tidak menemui sebarang rekod lampau dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.