BATU PAHAT - Polis memberkas dua individu dipercayai suspek utama kes bunuh susulan penemuan satu mayat di Tanah Perkuburan Cina Batu 1, Jalan Labis, Yong Peng, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat,  Superintendan KS Mender Singh berkata, dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di Yong Peng.

Menurutnya, suspek pertama ditahan dalam serbuan di Jalan Ah Looh, Yong Peng pada jam 9.30 malam, semalam.

“Hasil penahanan suspek pertama,  polis kemudiannya telah membuat serbuan di sebuah rumah jenis banglo kosong di Taman Kota Aman, Yong Peng dan berjaya menangkap suspek kedua pada jam 1.30 pagi tadi.

“Selain itu, polis turut merampas 13 barang kes termasuk sebilah pisau berukuran 17 inci dan dua buah motosikal,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan lanjut mendapati, dua individu ini turut memiliki rekod lampau termasuk berada dalam senarai dikehendaki bersabit kes dadah.

Semalam, polis menerima laporan daripada seorang penduduk berhubung penemuan mayat lelaki berusia 58 tahun dalam keadaan separa bogel di Tanah Perkuburan Cina Batu 1, Jalan Labis, Yong Peng, kira-kira jam 8 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tompokan kecil warna merah dipercayai titisan lilin sembahyang pada badan dan muka mangsa.

Katanya, selain itu, pemeriksaan lanjut turut menemui kesan luka dan berdarah di bahagian belakang kepala mangsa selain titisan darah mangsa juga turut ditemui tidak jauh daripada tempat mayat mangsa ditemui.

Ujar Mender Singh, hasil bedah siasat mendapati tulang rusuk kanan mangsa patah manakala bahagian tengkorak mangsa sebelah kanan juga terdapat kesan retak kecil dipercayai dipukul dengan objek tumpul.