KOTA KINABALU – Dua lelaki yang juga kru bot nelayan diculik oleh dua lelaki bersenjata di perairan Pulau Gaya, Semporna, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang berusia 30-an sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan itu.

"Dua lagi lelaki yang turut berada di dalam kapal itu sempat bersembunyi apabila dua lelaki bersenjata menaiki kapal mereka.

"Selepas beberapa minit, kedua-dua lelaki yang bersembunyi keluar dan mendapati dua lagi rakan mereka telah dilarikan oleh kumpulan bersenjata berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat identiti mangsa, termasuk kumpulan yang bertanggungjawab melakukan penculikan itu.

"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa penculik itu merupakan kumpulan yang menculik untuk tebusan  namun sehingga kini kita belum menerima panggilan daripada mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan penculikan itu," tambahnya.

Omar berkata sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2 pagi, pihaknya segera mengarahkan pasukan untuk menjejaki suspek. - Bernama