SABAK BERNAM - Polis menahan seorang lelaki warga emas dan seorang anak lelakinya kerana disyaki mengedar dadah selepas rumah sewa mereka diserbu di Taman Padu Permai, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, suspek berusia 64 dan 37 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan tersebut di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dua beranak yang diberkas itu sememangnya amat dikehendaki polis sebelum ini kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah itu.

"Salah seorang daripada suspek yang ditahan memiliki rekod lampau jenayah narkotik," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, sebentar tadi.

Nor Azmi berkata, polis melakukan serbuan itu diketuai Asisten Superintendan Ahmad Suhaili Abu Bakar bersama sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Sabak Bernam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas empat jenis dadah bernilai RM150, 204 sekali gus mencatat nilai rampasan terbesar di daerah ini sehingga September tahun ini.

"Polis merampas dadah jenis syabu seberat 976.45 gram bernilai (RM146, 467.50), heroin 64. 55 gram (RM1, 936.50), erimin 5, 30.49 (RM1, 100) dan pil yaba 8.77 gram (RM700)," katanya.

Nor Azmi memberitahu, turut dirampas dalam serbuan itu ialah, tiga alat pelekat penutup, dua penimbang, empat balang kaca diubahsuai, lima bungkusan plastik pelbagai saiz dan sejumlah tiub straw pelbagai warna.

"Hasil pemeriksaan ujian air kencing (urin) di IPD Sabak Bernam mendapati salah seorang daripada suspek positif methamphetamine.

"Kedua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.