KUALA TERENGGANU- Seorang pemandu lori hidup tidak tenteram kerana sering diganggu teman wanita dikenali dalam laman sosial yang asyik meminta wang sehingga lelaki itu terpaksa menanggung kerugian hampir RM4,000.

Kejadian bermula pada 14 Ogos lalu apabila mangsa, 55, berkenalan dengan seorang wanita di dalam laman sosial Facebook yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang peribadi.

Menurut sumber, tertarik dengan tawaran wanita itu yang kononnya wakil dari sebuah agensi pinjaman wang berdaftar, mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000.

"Selang beberapa hari kemudian, wanita tersebut menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp sebelum memaklumkan permohonan pinjaman diluluskan.

"Mangsa seterusnya diminta membayar RM650 untuk wang proses kepada pihak peguam dan berbuat demikian pada 16 Ogos lalu, dengan memasukkan wang ke dalam nombor akaun diberikan," katanya.

Sumber berkata, pada keesokan hari, iaitu pada 17 Ogos lalu, wanita tersebut menghantar surat kontrak perjanjian pinjaman melalui emel diberikan mangsa sebelum itu.

"Mangsa sekali lagi diminta memasukkan hampir RM3,000 ke dalam akaun sama dengan alasan sebagai caj wang deposit pinjaman.

"Sehari selepas itu iaitu pada 18 Ogos, mangsa diminta memasukkan wang ke dalam akaun sama dan tanpa berfikir panjang, lelaki itu hanya akur," katanya.

Jelas sumber, masih tidak puas hati, mangsa terus diasak membuat pembayaran kononnya untuk proses pinjaman tersebut dan tanpa sebarang keraguan, dia hanya mematuhi setiap arahan diberikan.

"Bagaimanapun setelah menghabiskan wang simpanannya hampir RM3,000, mangsa merasa tidak tenteram kerana setiap hari diganggu oleh wanita itu yang sering meminta wang.

"Curiga dengan tindakan wanita itu dan tidak selesa setelah dipaksa menyerahkan wang dengan pelbagai alasan diberikan, mangsa tersedar dirinya sudah ditipu sebelum nekad membuat laporan polis pada Isnin lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Jelasnya, kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.