KUALA TERENGGANU - Terkedu dimaklumkan dirinya terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram, seorang pesara sanggup memindahkan sejumlah wang simpanannya ke dalam sebuah akaun bank, meskipun tidak mengenali pemilik akaun terbabit.

Kejadian berlaku selepas wanita, 58, dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini, menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri dari sebuah syarikat komunikasi, pada Isnin lalu.

Menurut sumber, mangsa dimaklumkan nombor telefon yang didaftarkan atas namanya akan dipotong sebelum talian tersebut disambungkan kepada pegawai perhubungan dan seterusnya kepada pengurus syarikat.

"Pengurus syarikat itu memberitahu nombor telefon yang menggunakan identitinya dikesan didaftar di Sabah untuk tujuan urusan aktiviti judi haram.

"Tanpa sempat bertanya lebih lanjut, talian tersebut disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum mangsa bercakap dengan seorang pegawai polis.

"Mangsa diberitahu oleh pegawai polis berkenaan yang dia dikesan terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram dan waran tangkap sudah dikeluarkan," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, mangsa seterusnya diminta memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan dengan alasan untuk melihat sama ada duit tersebut haram atau sebaliknya.

"Tanpa mematikan talian, mangsa terus pergi ke bank berhampiran untuk memindahkan wang seperti diarahkan.

"Bagaimanapun, sejurus berbuat demikian, mangsa baru tersedar dirinya sudah diperdaya oleh sindiket penipuan," katanya.

Jelas sumber lagi, bimbang identitinya disalah guna kerana pihak tersebut mengetahui segala identiti peribadinya termasuk nombor kad pengenalan, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.

Kata Idris, kes berkenaan kini sedang dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.