BUKIT MERTAJAM - Hasrat seorang lelaki untuk menikmati sarapan pagi di sebuah kedai di sini bertukar sebaliknya apabila dia disamun dua lelaki di hadapan sebuah kedai di Taman Selamat Alma semalam.

Mangsa yang berumur 33 tahun itu disamun dua suspek yang dipercayai warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kedua suspek bersenjatakan parang dan kayu.

“Hasil siasatan mendapati kedua suspek datang dengan sebuah kereta dan terus menerpa ke arah mangsa.

“Suspek telah menyeluk poket seluar dan baju mangsa serta mengarahkan mangsa memberi semua barang miliknya dan suspek terus melarikan diri menggunakan kereta sama,” katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian dialami mangsa melibatkan wang tunai dan dokumen peribadi mangsa.

“Wang tunai dianggarkan RM50, telefon bimbit, kad pengenalan, lesen memandu, kad-kad ATM.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kedua suspek kini masih diburu polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.