GEORGETOWN - Seorang juruwang kedai 24 jam parah di kepala selepas dipukul dengan tukul besi oleh bekas teman wanitanya, awal pagi semalam.

Mangsa yang merupakan warganegara India itu turut disahkan doktor mengalami pendarahan dalam otak akibat hentakan kuat tersebut.

Mangsa kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa dikenali sebagai Jeetendra Kumar berusia 24 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang bekerja di sebuah kedai 24 jam di Jalan Kapitan Keling didatangi seorang wanita dan meminta untuk masuk ke kedai terbabit.

"Wanita terbabit merupakan bekas teman wanitanya dan mangsa membuka pintu kedai tersebut untuk membolehkan wanita itu masuk. Wanita itu kemudiannya menyembur sejenis cecair ke muka mangsa menyebabkan matanya pedih.

"Tidak tahan dengan kejadian itu, mangsa terus melarikan diri ke biliknya di tingkat atas premis tersebut. Suspek mengejar mangsa sehingga ke biliknya dan berlaku pergelutan.

"Ketika itu, suspek  telah memukul kepala mangsa menggunakan tukul besi. Suspek turut memegang sebilah pisau dan cuba untuk menikam mangsa namun mangsa sempat mengelak," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa berjaya meloloskan diri lalu meminta bantuan dari orang awam yang berada berdekatan premis tersebut.

"Suspek berjaya ditahan oleh sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh orang awam. Siasatan awal mendapati, suspek yang sudah berpisah dengan mangsa itu berang apabila mangsa tidak memberi wang kepadanya.

"Suspek datang ke kedai itu lalu meminta wang daripada mangsa namun mangsa enggan memberikannya. Akibat terlalu marah, suspek menyerang mangsa menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepalanya.

"Menurut doktor yang merawat mangsa, kecederaan tersebut boleh menyebabkan maut kerana mangsa mengalami pendarahan di dalam otak," katanya.

Che Zaimani berkata, suspek berusia 46 tahun dan berasal dari Filipina itu direman lima hari sehingga 13 September ini untuk siasatan lanjut.

"Suspek yang mendapat kerakyatan di negara ini telah ditangkap bersama senjata yang digunakannya iaitu sebilah tukul besi berukuran 35 sentimeter (cm) dan sebilah pisau berukuran 23 cm (yang digunakan untuk cuba menikam mangsa).

"Kes ini dianggap selesai selepas penahanan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata," katanya.