DUNGUN - "Salah seorang perompak mengacu pisau di perut saya dan menyuruh kami senyap sebelum dipaksa melutut," kata Fatimah Latih, 63 ketika menceritakan detik cemas dirompak empat lelaki dalam kejadian di Santong, Paka, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, warga emas tersebut bersama anak saudaranya, Hanisah Maeen, 36 yang sedang berniaga di sebuah gerai di persimpangan Santong diserang sekumpulan perompak.

Bukan sahaja diugut dengan senjata tajam, mereka turut mengalami kerugian besar apabila wang tunai, barang kemas dan sebuah kereta jenis Perodua Viva dilarikan penjenayah.

Fatimah yang lebih dikenali sebagai "Mok Teh" berkata, sewaktu kejadian tiada pelanggan di gerainya.

Gerai makanan milik Mok Teh yang menjadi sumber rezekinya sejak 22 tahun lalu

Menurutnya, dua lelaki yang juga suspek menaiki motosikal datang untuk membeli nasi dah kuih-muih.

"Tidak lama selepas motosikal itu tiba,sebuah kereta jenis Proton Wira berhenti berhampiran gerai.

"Empat lelaki termasuk dua lelaki yang menaiki motosikal tadi meluru ke arah kami.

"Saya kenal salah seorangnya kerana selalu datang ke kedai untuk membeli makanan tetapi tidak tahu nama," katanya.

Mak Teh berkata, salah seorang lelaki terus mengacu pisau ke perut saya dan mengugut akan menikam sekiranya membuat bising.

"Saya dan anak saudara dipaksa melutut di atas lantai di belakang gerai.

"Sambil mengacah pisau ke arah perut saya, lelaki itu bertanya sama ada saya memakai barangan kemas.

"Dia menyelak tudung saya untuk memeriksa rantai leher dan kemudian merampas gelang tangan dipakai anak saudara,"katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM30, 000 akibat kejadian itu.

"Selepas meragut barang kemas, mereka merampas beg plastik mengandungi RM1,000 hasil jualan dan melarikan sebuah Perodua Viva berwarna hitam milik anak saudara.

"Kami masih terkejut dan trauma dengan insiden yang berlaku.

"Sepanjang 22 tahun berniaga di kawasan Santong tidak pernah saya diduga kejadian menakutkan seperti ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Gerakan mengesan kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun itu sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek boleh hubungi pihak polis di talian 09-848 2222,"katanya.