PADANG BESAR - Polis merampas daun ketum dianggarkan bernilai RM59,100 yang akan diseludup keluar ke negara jiran.

Rampasan itu dibuat dalam Ops Cantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perlis, awal pagi tadi di kawasan semak di Kampung Kolam, di sini.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, dalam operasi kira-kira jam 2.30 pagi, dapati terdapat sekumpulan lelaki berada di kawasan semak tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, setelah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa, kumpulan lelaki tersebut telah cuba melarikan diri ke kawasan belukar.

"Bagaimanapun, dua lelaki berjaya ditahan dalam tangkapan berasingan di sekitar kawasan itu.

"Pemeriksaan mendapati salah seorang suspek ini mengalami kecederaan luka di bahagian bibir, siku kanan dan lutut kiri dipercayai kerana jatuh semasa cuba melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, polis kemudian telah merampas daun ketum yang telah siap diikat seberat 1,970 kilogram yang mana nilainya RM30 bagi sekilogram.

Katanya, turut dirampas adalah alat penimbang, sebuah kereta Proton Wira dan motosikal jenis Honda.

"Dipercayai kenderaan ini digunakan suspek untuk menyeludup daun ketum ini keluar ke negara jiran. Malah mereka menjadikan kawasan semak ini sebagai tempat pembungkusan bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek berusia 53 dan 22 tahun ini akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun.