GEORGETOWN- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa  dengan  penahanan dua lelaki dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM8.8 juta dalam lima serbuan di sekitar Pulau Pinang, Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A.Thaiveegan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 39 dan 46 tahun di kawasan Gelugor di sini pada pukul 12 tengah hari dan merampas dadah jenis syabu sebanyak 8.2 kilogram dan 2.9 kilogram heroin yang disembunyikan dalam kereta itu.

"Susulan penahanan dua lelaki yang merupakan anggota sindiket pengedaran dadah itu, polis menyerbu empat lagi lokasi iaitu sebuah apartment di Mutiara Height dan merampas 64.45 kilogram syabu sebelum ke Jelutong dan menemui 93.2 kilogram syabu.

"Polis juga merampas 734 gram base heroin di Sungai Dua, di sini dan terakhir di Balik Pulau kami merampas 18.6 kilogram ganja. Operasi bermula pukul 12 tengah hari  hingga 7.20 malam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata, semua dadah itu dibungkus dalam bungkusan teh cina dan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di Malaysia.

Beliau berkata operasi dengan kerjasama bahagian pencegahan dadah China dan Thailand itu turut menyita wang dalam beberapa akaun bank berjumlah RM2.05 juta, wang tunai RM370,000 dan sebuah kenderaan mewah bernilai RM220,000 daripada dua lelaki terbabit.

"Semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1.14 juta penagih dan polis akan meneruskan operasi  dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah di Pulau Pinang.Kami lancarkan operasi besar-besaran untuk lawan kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata dua lelaki yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau serta positif dadah. Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menemui 16,921 gram (g) ketamin, 479g heroin dan 246g syabu bernilai RM865,000 yang disembunyikan di bahagian bumbung sebuah apartment di Datuk Keramat, di sini pada pukul 2.30 petang, Isnin lepas.

"Polis menerima laporan daripada pengurusan apartment itu yang memaklumkan pekerjanya menemui semua dadah itu di bahagian bumbung rumah tingkat paling atas ketika hendak membaiki bumbung yang rosak akibat hujan lebat…dadah itu dipercayai disembunyikan di situ sejak beberapa tahun berdasarkan keadaan semua dadah itu," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang menyembunyikan semua dadah itu di atas bumbung berkenaan dan menurut tuan rumah itu dia telah tinggal di apartment itu sejak sembilan tahun lepas dan tidak mengetahui mengenai dadah-dadah berkenaan. - Bernama