SEREMBAN - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM46,082 melalui 11 operasi berasingan di sekitar Seremban, Nilai, Port Dickson dan Jempol.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dalam operasi yang dilaksanakan  sejak 27 Ogos hingga Selasa lepas, antara dadah yang dirampas ialah heroin seberat 825g, syabu (257g), ganja (138g), pil ekstasi (10 biji) dan pil Eramin 5 sebanyak 15 biji.

“Seramai 17 pengedar termasuk seorang wanita berusia 22 hingga 39 tahun telah ditahan.

"Pihak polis turut menyita enam buah motosikal, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM17,569,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Noor Azam berkata, serbuan yang dijalankan juga telah berjaya mengesan dua motosikal curi jenis Ducati dan Yamaha yang pernah dilaporkan hilang di Tanah Merah dan Salak Selatan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati 15 daripada suspek positif dadah dan dua lagi suspek negatif dadah.

Selain itu, 15 suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampu berkaitan dadah.

“Kesemua suspek kini ditahan reman bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

“JSJN amat serius dalam misi membanteras dan memerangi dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar-pengedar dadah yang bergiat aktif khususnya di seluruh Negeri Sembilan,” katanya. - Bernama