JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas lebih 4,000 gram dadah jenis heroin dan syabu dalam satu serbuan yang dilakukan, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kadet Mohd berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 38 tahun itu ditahan sebuah rumah di Taman Bukit Mutiara, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi.

“Pemeriksaan di kediaman itu kemudiannya menemui sejumlah serbuk disyaki dadah jenis heroin seberat 4,580 gram dan syabu seberat 197 gram.

“Kesemua dadah ini dianggarkan bernilai RM109,700,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, polis turut merampas dua buah motosikal milik suspek bersama wang tunai bernilai RM 7,150 sebagai bahan bukti.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Buat masa ini, suspek akan direman sehingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.