KOTA BHARU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama polis Kelantan berjaya melumpuhkan sindiket dadah dalam bungkusan teh dengan nilai rampasan RM4.3juta, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, serbuan serentak bermula jam 3.55 pagi hingga 4.10 pagi di tiga lokasi di Kota Bharu dan Pasir Mas itu membawa penahanan tiga lelaki warga berusia antara 30 dan 34 tahun.

Syabu dalam bungkusan teh yang diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Katanya, keseluruhan 81 kilogram dadah jenis syabu, 5,700 biji pil eramin 5 dan 2,000 biji pil kuda dirampas bersama tiga kereta, sebuah motosikal dan wang tunai RM5,900 disita.

“Serbuan pertama dilakukan di Kampung Derdap, Limbat menemui 80.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang disorokkan dalam 49 bungkusan teh cina dalam sebuah stor.

“Pemeriksaan lanjut juga menjumpai 5,700 pil eramin 5; 2,000 pil yaba dan 167 pil ekstasi dalam stor sama dan lelaki berusia 33 tahun ditahan,” katanya pada sidang media yang dihadiri Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Eramin 5 dan pil yaba yang turut dirampas polis dalam serbuan di Kampung Derdap, Limbat.

Beliau berkata, serbuan kedua di Kampung Kepas Jalan Banggol Jerih, Pasir Mas menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas 467 gram dadah syabu, manakala tangkapan ketiga lelaki berusia 34 tahun di Kampung Derdap Limbat pula tiada sebarang rampasan.

“Kami turut menyita dua kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Satria, sebuah motsikal dan wang tunai RM5,900 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM65,000,” katanya.