BUKIT MERTAJAM - Seorang guru terpaksa berhadapan dengan situasi mencemaskan apabila dia cuba disamun oleh dua lelaki dalam kejadian di Taman Budiman di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa yang baru pulang dari sebuah pasar raya di sini berjalan menuju ke rumahnya namun dihampiri dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Pembonceng motosikal berkenaan cuba merampas beg galas yang dibawa mangsa sebelum bertindak memukul kepala mangsa dengan objek tumpul.

Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 27 terjatuh dan mengalami kecederaan calar di bahagian dahi kiri.

Bagaimanapun beg galas mangsa berjaya diselamatkan dan suspek kemudiannya melarikan selepas mangsa menjerit meminta pertolongan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tidak lama kemudian suspek kembali ke arah wanita berkenaan dan cuba merampas beg terbabit namun mangsa bertindak lebih pantas dengan melemparkan beg galasnya ke dalam sebuah rumah berhampiran tempat kejadian.

"Suspek hanya berjaya melarikan satu bungkusan beg plastik sahaja.Selepas mangsa melemparkan beg sandangnya ke dalam sebuah rumah, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Bukit  Mertajam disebabkan kecederaan yang dialami akibat kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini tadi.

Nik Ros Azhan berkata, kejadian samun berkenaan berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah rumah berhampiran tempat kejadian berkenaan.

Kini pihaknya sedang mengesan kedua-dua suspek berkenaan yang menaiki motosikal jenis Honda Wave ketika melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana samun.