KUALA LANGAT - Hanya kerana sering disindir mempunyai hubungan sulit dengan kakitangan lain, seorang pembantu makmal bertindak menikam dan mencekik rakan sekerjanya dalam satu kejadian di sebuah kolej vokasional di sini, hari ini.

Mangsa dikenali Zaimah Mahmod, 57, ibu tunggal berasal dari Terengganu merupakan ketua kerani di kolej tersebut.

Mangsa maut di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tikaman di bahagian leher dan badan.

Difahamkan, suspek berusia 28 tahun yang masih bujang itu dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, suspek mengaku membunuh mangsa.

"Polis yang tiba di lokasi beberapa minit kemudian menahan suspek. Soal siasat mendapati kejadian dipercayai berpunca dendam kerana sering disindir mempunyai hubungan sulit dengan kakitangan di tempat kerja," katanya.

Sementara itu, salah seorang guru yang enggan dikenali berkata, dia sempat berjumpa dengan suspek sebelum kejadian.

"Waktu itu saya singgah ke pejabat untuk berjumpa pengarah kira-kira jam 1.20 petang. Saya sempat tegur dia (suspek), tapi di kelihatan murung dan hanya menundukkan muka ke bawah.

"Agak pelik sedikit, biasanya dia ramah. Bila saya tanya dia, dia langsung tidak pandang muka saya, macam sedang fikir sesuatu," katanya.

Jelas guru berusia lingkungan 50-an itu, dia terkejut dengan insiden itu kerana lelaki yang dikenalinya itu seorang yang ramah dan sering membantunya melakukan kerja di pejabat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tikam, cekik rakan sekerja hingga mati]