GOMBAK - Kerajaan perlu lebih serius dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kekejaman terhadap haiwan agar memberi pengajaran kepada masyarakat.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid, berkata, tindakan dua individu yang menyebabkan kematian seekor kucing dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering perlu dipandang serius dengan menjatuhkan hukuman paling maksima terhadap mereka.

Menurutnya, undang-undang sedia ada perlu dilaksanakan bukan hanya diwartakan semata-mata.

"Mereka yang lakukan ini adalah mereka yang tiada kesedaran sivik. Saya harap kedua-dua suspek segera ditangkap dan tindakan setimpal dikenakan. Kenakan denda paling maksimum, penjarakan juga.

"Dalam masa sama mereka juga perlu diberikan pengajaran dalam bentuk hukuman lain seperti melakukan kerja-kerja amal berkaitan haiwan supaya mereka lebih sedar," katanya kepada Sinar Harian.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kejam sungguh... ]

Tambah Khalid, kes berkenaan adalah berpunca daripada sikap indiviu yang tidak sensitif terhadap kehidupan lain sehinga menyebabkan mereka tergamak melakukan kekejaman itu.

"Apa salah kucing itu kepada mereka? perkara ini amat menyedihkan dan tidak boleh dibiarkan. Mereka perlu diberi pengajaran sewajarnya," katanya.

Video rakaman kamera litar tertutup sebuah dobi di Taman Gombak Ria, di sini, yang memaparkan tindakan tidak perikemanusiaan itu menjadi tular di Facebook hari ini mendapat kecaman daripada netizen.

Menerusi paparan berdurasi 2 minit 50 saat itu, Kedua-dua lelaki yang juga pelanggan dobi berkenaan dilihat memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering.

Kejadian dipercayai berlaku pada waktu tengah malam sebelum bangkai kucing itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada siang hari oleh pelanggan yang mahu menggunakan mesin pengering tersebut.