GOMBAK - Bayi lelaki berusia lima bulan  yang sebelum ini dilapor hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini.

Mayat mangsa,  Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui dalam bahagian atas peti ais dua pintu di rumah pengasuh tersebut kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat  ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku.

Memetik kenyataannya dalam laman portal berita, mayat bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dibalut dengan kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Mangsa ditemui anggota polis yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

"Mayat bayi ditemui selepas siasatan polis mendapati keterangan pengasuh terbabit meragukan.

"Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan penularan berita kehilangan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan  dipercayai dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dekat sini, petang semalam.

Kehilangan bayi bernama Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif itu disedari ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, selepas dihubungi pengasuh memaklumkan anaknya sudah diambil suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi, 28.