SHAH ALAM - Pelbagai jenis barang kemas dianggarkan bernilai RM2 juta disimpan dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX5 didakwa hilang berhampiran sebuah kedai emas di Jalan Bunus 6, Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai pengedar barangan kemas dikatakan singgah di sebuah kedai emas di lokasi berkenaan untuk menghantar barang.

Kenderaan SUV itu diparkir di bahu jalan lokasi berkenaan dan ketika lelaki itu kembali ke kenderaannya mendapati dua lelaki yang datang bersamanya menghilangkan diri dan beg berisi barang kemas itu juga hilang.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi media mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.