KEPALA BATAS - Seorang wanita mendakwa bayi perempuannya yang berusia 20 hari didera sehingga meninggalkan kesan lebam dan gigitan.

Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki (bapa kepada bayi itu) berusia 34 tahun pada 7.50 malam semalam bagi membantu siasatan.

Menurut laporan polis yang dibuat wanita berkenaan, bayi itu sering digigit suspek di beberapa bahagian badan terutama kepala, hidung dan pipi selain suspek sering melambung serta menggantung bayi di buaian sehingga jatuh ke lantai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, keluarga itu tinggal di Bumbung Lima di sini dan lelaki yang ditahan di perkarangan Hospital Kepala Batas berkenaan merupakan penagih dadah yang tidak bekerja.

“Terbaru lelaki itu didakwa menggigit kepala bayi mereka pada Rabu lepas sehingga meninggalkan kesan gigitan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu membuat laporan polis semalam selepas bimbang keselamatan bayinya kerana lelaki terbabit pernah mengugut mahu menjual bayi berkenaan.

Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan dan rawatan, doktor yang merawat bayi itu mengesahkan kesan lebam gigitan pada kepala bayi telah hilang memandangkan kejadian telah beberapa hari berlaku.

Berdasarkan siasatan, lelaki yang positif dadah itu bertindak sedemikian kerana bayi berkenaan kerap menangis.

Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan. - Bernama