SUNGAI PETANI – Panggilan telefon seorang sepupu bertanyakan tentang wang yang diminta, menyedarkan seorang pelajar kolej swasta bahawa akaun WeChat miliknya sudahpun digodam.

Mangsa, Crisht Tan Lee Min, 21, berkata, dalam kejadian 15 Julai lalu, semasa berada di rumahnya di Jalan Keranji kira-kira 6.09 petang, dia dikejutkan dengan panggilan telefon dari sepupunya yang bertanyakan lebih lanjut mengenai wang yang diminta.

Menurutnya, dia hanya menyedari perkara itu setelah diberitahu bahawa penggodam yang menggunakan akaun WeChat miliknya meminta rakan-rakan dalam laman itu menghantar wang dalam kadar segera.

“Sepupu saya telefon dia tanya tentang duit itu, tetapi saya cakap tak ada minta duit pun,” katanya.

Lee Min menjelaskan, sebelum kejadian, dia ada menerima mesej daripada seorang rakan yang meminta tolong untuk mengaktifkan akaun WeChat.

“Akaun kawan juga telah digodam terlebih dahulu, sebab saya ingat dia ada minta saya tolong buat sesuatu.

“Masa tu dia bagitau akaun Wechat ada masalah, dia minta nombor telefon saya, tanpa syak saya terus hantar nombor saya.

“Dia pesan selepas ini akan ada mesej dihantar, jadi minta panjangkan mesej tersebut. Tanpa fikir panjang, saya terus ikut arahan. Selepas itu, akaun WeChat saya langsung tidak dapat digunakan,” katanya.

Dalam masa sama, penggodam terus mengendalikan akaun WeChat Lee Min dan sempat meminta wang dari beberapa pihak secara privasi atas alasan terdesak.

Katanya, sepupunya terselamat apabila membuat panggilan telefon kepadanya terlebih dahulu.

“Nasib dia telefon saya dulu, tanya duit nak buat apa, saya terkejut dan terus menghubungi beberapa rakan lain, menjelaskan situasi sebenar di mana akaun saya telah digodam dan mengelakkan dari mereka memasukkan wang ke akaun tidak diketahui,” katanya.

Pelajar itu bagaimanapun terkejut apabila diberitahu salah seorang kenalan di WeChat telah terpedaya serta memindahkan wang sebanyak RM1,300 ke akaun Maybank atas nama Chuo Wu Tien kerana menyangka dia benar-benar dalam kesusahan.

Dalam masa sama, dia ada menerima maklumat bahawa penggodam juga meminta kenalannya menghantar wang ke akaun bernama Lim Kah Chin, namun tidak berjaya.

Sementara itu, Adun Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, pihaknya meminta agar orang awam mengutamakan ciri keselamatan terutama ketika berkomunikasi di laman sosial.

Menurutnya, perkara itu perlu dititik beratkan bagi memastikan tiada perkongsian data secara privasi dilakukan bagi mengelakkan orang awam terpedaya.

Kes berkenaan turut dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sekaligus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Utara untuk tindakan segera.