JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal telah ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan  seorang wanita warganegara asing yang dicederakan hingga tular di laman Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, anggota polis terbabit yang bertugas di Balai Polis sekitar bandaraya ini ditahan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera atau ugutan jenayah.

"Wanita itu mendakwa  mengalami kecederaan di kedua-dua lututnya serta diugut akan ditangkap jika melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

"Rentetan viral ini, satu laporan polis telah dibuat bagi menyiasat dakwaan tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, mangsa berkenaan telah berjaya dihubungi melalui laman Facebook dan kini berada di luar negara.

"Usaha sedang diambil dengan kerjasama pihak Interpol bagi merakam percakapan mangsa mengenai kesahihan kejadian dan dakwaan yang diviralkan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi terus di talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Hoo Yee Fung di talian 017-4785068.

Mangsa telah tularkan kisahnya yang mendakwa diseret dan dipukul anggota polis tersebut selepas suspek cemburu melihatnya bersama lelaki lain di sebuah kelab di Permas Jaya, di sini, pada 26 Disember 2017.

Wanita itu turut mendakwa mempunyai hubungan cinta dengan lelaki yang sudah beristeri itu.

Malah, mangsa turut mendakwa dimasukkan ke penjara kerana memiliki pil ekstasi dalam begnya.