KOTA BHARU – Tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) termasuk remaja berusia 18 tahun ditahan Jabatan Imigresen Kelantan dalam Ops Mega 2 di sebuah kedai makan di Kampung Kubang Panjang, Chabang Empat, Tumpat, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Wan Mohammmed Saupee Wan Yusoff berkata, beliau turut sama menyertai operasi yang berlangsung selama dua jam bermula 10 malam hingga 12 tengah malam.

“Operasi yang dijalankan di satu lokasi restoran di Tumpat itu membabitkan 17 anggota termasuk pegawai kanan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan.

“Dalam operasi itu, seramai 25 individu diperiksa, manakala tujuh daripadanya yang berusia antara 18 dan 40 tahun ditahan kerana dipercayai Pati yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut mengambil keterangan daripada majikan iaitu seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki warganegara Malaysia juga pekerja di restoran berkenaan.

“Pihak JIM turut mengeluarkan saman kepada wanita dan dua lelaki berkenaan yang masing-masing berusia 54 dan 45 terbabit.

“Kesemua suspek kini ditahan di Depot   Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.