JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok ‘lari cukai’ menerusi penahanan seorang lelaki.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak hasil risikan, suspek berusia 25 tahun itu berjaya ditahan jam 9.30 pagi di Taman Kejayaan 1, Taman Perindustrian Kota Tinggi.

Menurutnya, tangkapan lelaki warga tempatan itu turut membawa kepada penemuan sebanyak 4,750 karton rokok dianggarkan bernilai RM484,908 yang disimpan dalam sebuah stor dan kereta dipandunya.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bersama sejumlah rokok. Suspek kemudiannya membawa ke satu lagi lokasi lain di mana bekalan yang lain disimpan.

“Pemeriksaan di sebuah stor di Jalan Taman Kejayaan 2 itu kami kemudiannya menemui beberapa kotak berisi karton rokok dan sebuah van yang juga mengandungi barangan terlarang itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Paul berkata, pihaknya percaya kesemua bekalan rokok tidak sah itu adalah untuk pasaran tempatan.

Bagaimanapun, katanya lokasi dari mana ia diseludup masuk ke dalam negara masih sedang disiasat.

“Untuk serbuan dan tangkapan di dua lokasi ini termasuk rokok dan dua kenderaan tersebut adalah dianggarkan berjumlah RM630,000,” katanya.

Katanya, tangkapan dan rampasan barangan dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.