$entry.content.caption.value
JAWI - Tiga ahli geng pecah rumah ditembak mati di Kilometer 160 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran hentian rehat dan rawat Sungai Bakap dekat sini, awal pagi ini.
Pemeriksaan polis dalam kenderaan yang mereka gunakan menemui sepucuk pistol, dua bilah parang, satu keris dan peralatan digunakan untuk pecah rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Zahrudin Abdullah berkata, lelaki tempatan dan dua warga Indonesia itu ditembak apabila salah seorang dari mereka cuba melarikan diri ketika diperiksa dengan melepaskan dua das tembakan ke arah polis.
Ketika bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, kata beliau, lelaki tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 dan 40 tahun itu aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.
Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Zahrudin berkata, dengan tertumpasnya kumpulan yang memang dikehendaki itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 56 kes pecah rumah di sekitar negeri ini.
Polis menemui sepucuk pistol, dua butir peluru dan dua butir kelongsong peluru di tempat kejadian dalam insiden kira-kira 1.30 pagi itu.
Selain itu, katanya polis turut menemui pisau, tali, parang, topeng muka, sebatang besi, sarung tangan, keris, pisau lipat dan sebuah komputer riba dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki itu.
Menurutnya, pada awalnya polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di laluan PLUS mendapat maklumat mengenai kumpulan berkenaan daripada sumber dan telah mengesan mereka.
"Polis berjaya mengesan kumpulan itu pada pukul 1.30 pagi di tol Juru menghala selatan dan kita mengekori mereka sebelum memintas kenderaan jenis Hyundai yang dinaiki mereka," katanya.
Beliau berkata sebaik anggota polis mendekati kereta yang berhenti itu dan memperkenalkan diri sambil meminta tiga lelaki terbabit mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu, seorang daripada penumpang belakang bertindak
keluar dan melarikan diri ke arah semak berhampiran.
"Lelaki itu juga bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah polis manakala dua rakannya turut cuba melarikan diri. Bagaimanapun usaha mereka gagal kerana terkena tembakan daripada polis yang mempertahankan diri," katanya.
Zahrudin berkata, ketiga-tiga lelaki itu mati di tempat kejadian dan menurutnya, warga Indonesia itu masuk ke Malaysia menggunakan pasport yang sah.
Beliau berkata, polis sedang mengesan dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang.




