JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 3,811 individu dalam 896 serbuan yang dijalankan ke atas premis perjudian dalam talian di seluruh negeri bermula Januari 2018 hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 9,031 mesin perjudian telah dirampas manakala keseluruhan wang tunai yang dirampas RM332, 657.

Kamaluddin berkata dalam serbuan terbaru yang dilakukan semalam, seramai 16 individu ditahan termasuk wanita warga Vietnam kerana terlibat dalam perjudian dalam talian atau ‘online’ dalam dua serbuan  yang berasingan.

“Bertindak dari risikan, JSJ IPK Johor bersama Ketua Polis Balai Taman Pelangi IPD Johor Bahru Selatan, kami melakukan dua serbuan berasingan dan turut menahan 12 lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan dua lelaki warga Bangladesh,” katanya.

“Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 18 dan 63 tahun dan ditahan di lokap IPD Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian online termasuk wang tunai.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4B(a)/ 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika disabitkan kesalahan, hukuman denda sehingga RM100,000 bagi setiap mesin judi dan penjara maksimum 5 tahun boleh dikenakan.

“Pemain judi pula boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau  penjara  tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kamaluddin berkata bagi tempoh Januari hingga November 2018, sebanyak 27,484 pemantauan dan pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis-premis  yang disyaki  menjalankan kegiatan perjudian online.- Bernama