KUALA LUMPUR - Seorang anggota kumpulan pengganas dari sebuah negara Asia Tenggara antara 10 suspek yang  ditangkap selepas polis melancarkan operasi di tujuh negeri termasuk Selangor.

Kesemua tangkapan dilakukan bermula 11 Ogos hingga 31 Ogos lalu oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada dua sel berasingan yang merancang menyertai kumpulan pengganas di sebuah negara timur tengah serta melancarkan serangan di tempat-tempat maksiat di Melaka dan Pulau Pinang.

Beliau berkata,  tangkapan pertama melibatkan sel terdiri daripada lima suspek dikenali sebagai kumpulan Asoib atau 'Pemuda Dari timur' di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Siasatan awal katanya,  mendapati kesemua suspek berusia antara 39 hingga 53 tahun itu merancang bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara di timur tengah bagi melancarkan serangan di sebuah negara yang bersempadan dengan negara tersebut.

"Mereka juga akan dibekalkan dengan pelbagai senjata oleh kumpulan pengganas tersebut sejurus tiba di sana.

"Seorang dari kumpulan Asoib itu, sudah berlepas ke negara timur tengah berkenaan bagi membuat persiapan dan menyelaras operasi serangan tersebut, " katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu turut memberi tafsiran salah terhadap hadis mengenai Imam Mahdi di mana mereka mempercayai dia akan muncul di Mekah tahun ini dan seterusnya, kumpulan itu akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi untuk menyerang negara-negara sekular dan menentang dajal.

Sementara itu,  Mohamad Fuzi berkata, satu lagi sel dikenali sebagai kumpulan 'Ar Rayah' yang terdiri daripada lima suspek, ditahan pada 25 Ogos dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek utama kumpulan ini merancang untuk melancarkan serangan bom asap di tempat-tempat maksiat sekitar Melaka.

Beliau berkata, serangan itu dipercayai untuk menimbulkan suasana panik kepada pengunjung pusat-pusat hiburan,  sekaligus keadaan itu boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka.

Katanya,  turut dirampas bersama  suspek utama itu adalah lima bom asap yang siap diproses.

Susulan penahanan suspek utama itu, Mohamad Fuzi berkata, polis kemudiannya menahan baki empat lagi ahli kumpulan itu di Kelantan dan Pulau Pinang pada 31 Ogos lalu.

"Seorang daripada suspek ditahan berusia 50 tahun merupakan warga asing dan bekerja sebagai peniaga restoran.

"Siasatan dapati dia juga merupakan anggota kumpulan pengganas dari sebuah negara asia tenggara yang mempromosikan perjuangan kumpulan itu kepada anggota kumpulan WhatsApp 'Ar Rayah Member' serta berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi kumpulan pengganas tersebut membeli senjata api dan peluru,"katanya.

Mohamad Fuzi berkata, semua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab Via-kesalahan berkaitan keganasan,  kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).