GEORGETOWN - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail mengingatkan graduan agar tidak menjadi parasit yang mengganggu keharmonian negara.
   
Titah baginda, sebagai golongan berilmu, graduan harus menunjukkan teladan yang baik selain menggunakan ilmu untuk kebaikan orang lain.
   
"Sebagai seorang yang berilmu, elakkan daripada menjadi beban dan masalah kepada orang lain jauh sekali menjadi parasit  yang mengganggu keharmonian yang ada," titah baginda pada upacara konvokesyen ke-48 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
   
Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Canselor USM bertitah sebagai golongan berilmu, amat penting bagi lulusan universiti mengekalkan adab, berakhlak dan berhemah selain sentiasa ingin berbakti kepada orang lain.
   
Baginda juga mahu graduan sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa.    
 
"Jangan sama sekali abaikan mereka dan jadilah seorang yang bersyukur dan berterima kasih atas apa yang didapati di USM," titah Raja Perlis itu.
   
Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Tan Sri Fumihiko Konishi dan Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roslani Abdul Majid.
   
Baginda turut memperkenankan pelantikan Tan Sri Mustafa Mansur sebagai Pro-Canselor USM yang ketiga.
   
Sebanyak 536 daripada 5,427 graduan menerima ijazah tinggi, ijazah pertama dan diploma pada sidang pertama upacara konvokesyen itu.
   
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.   - Bernama