SERDANG - Seramai 45 individu termasuk seorang pelajar Tingkatan Dua ditahan dalam parti liar seks dan dadah di sebuah kondominium di Seri Kembangan di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.45 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri 37 lelaki dan 8 perempuan berusia 14 hingga 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, 33 daripada yang ditahan positif dadah dan berada dalam keadaan khayal sewaktu serbuan dilakukan.

"Penganjuran pesta bebas itu juga berjaya menahan sembilan pelajar sekolah menengah dan enam penuntut institut pengajian tinggi di sekitar Kuala Lumpur yang berada di lokasi.

"Dipercayai semua yang terlibat menerima jemputan parti tertutup itu menerusi media sosial dan dikenakan bayaran sekurang-kurangnya RM60 untuk menyertai parti yang diadakan selama dua hari," katanya.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah 11 pil ekstasi dan dua paket dadah ketamin yang beratnya dianggarkan 1 gram.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek ditahan reman selama empat hari bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Saringan awal polis mendapati 33 suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ganja sementara 12 lagi yang ditahan negatif," katanya.